KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) menggesa tindakan tegas dan hukuman sewajarnya diambil terhadap seorang sami sementara yang disyaki mencabul seorang wanita di sebuah kuil di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, baru-baru iniMahima kecam gangguan seksual di kuil.
Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar menyifatkan kejadian itu mencemarkan kesucian rumah ibadat serta mencabul kehormatan agama dan wanita.
“Perkara ini amat menjijikkan dan telah mencemarkan maruah penganut Hindu. Rumah ibadat sepatutnya menjadi tempat perlindungan rohani, bukan medan pemangsaan terhadap wanita. Kami di Mahima memandang serius insiden ini dan tidak akan berkompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan siasatan awal mendapati suspek merupakan sami sementara yang menggantikan sami utama yang sedang berada di luar negara.
Suspek dikatakan telah melakukan perbuatan cabul ketika merenjis air sembahyang ke atas mangsa.
Menurut Sivakumar, pihaknya kecewa dengan sikap pengurusan kuil yang didakwa cuba menutup perkara tersebut demi menjaga nama baik institusi berkenaan.
“Saya difahamkan pihak pengurusan kuil tidak mahu isu ini diwar-warkan atas alasan menjaga imej kuil. Ini amat mengecewakan. Kita tidak boleh membiarkan pelaku jenayah seksual berlindung di sebalik kain suci agama. Keutamaan kita ialah keadilan untuk mangsa dan keselamatan penganut.
““Saya menyeru agar individu terbabit didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan seorang wanita. Undang-undang harus ditegakkan tanpa mengira status, pangkat mahupun latar belakang agama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sivakumar berkata, pihaknya bersedia menawarkan khidmat nasihat guaman kepada mangsa sekiranya terdapat kelewatan atau ketidakadilan dalam proses siasatan atau pendakwaan.
Beliau turut mengingatkan semua pengurusan kuil di seluruh negara agar lebih berwaspada dalam memilih individu yang dilantik menguruskan hal ehwal keagamaan di rumah ibadat.
“Kuil bukan tempat untuk menjadi medan jenayah. Ia harus kekal sebagai ruang suci yang menjamin keselamatan dan kesejahteraan penganut. Saya gesa semua kuil memastikan tahap integriti dan keselamatan berada pada tahap tertinggi.
“Kita harap prosedur pemantauan dan kelayakan untuk melantik sami diperketatkan supaya insiden serupa tidak berulang pada masa akan datang,” ujarnya. -MalaysiaGazette